Maut tidak sempat elak kepala air

SEORANG lelaki berusia 33 tahun ditemui lemas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Pecah Batu, Trong, Taiping, hari ini.

Mayat R Saravanan ditemui pada 4.40 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.09 petang.

Katanya, sebaik tiba, anggota dimaklumkan mangsa yang sedang mandi bersama ahli keluarga tidak sempat naik ke tebing ketika kepala air tiba.

“Operasi mencari dan menyelamat yang diperluaskan berjaya menemui mayat mangsa kira-kira satu kilometer dari tempat dia dihanyutkan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum operasi ditamatkan pada 5.15 petang,” katanya.

Hasna berkata, berdasarkan maklumat ahli keluarga mangsa, hujan lebat menyebabkan kepala air dari atas bukit turun dan menghanyutkan mangsa.

Sumber BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *