Dah dua malam ‘dikunjungi’ gajah

“SAYA dan anak tidak berani lagi tinggal di rumah selepas dua malam berturut-turut gajah berkeliaran di halaman rumah yang bukan saja memusnahkan tanaman, malah tandas serta bangsal tempat berteduh,” kata Jamaliah Ismail, 64, dari Kampung Bukit Hijau, Kupang, Baling.

Menurut Jamaliah, dia dan anaknya Saharani Ghazali, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam tidak berani tinggal di rumah itu kerana bimbang dengan ancaman tiga gajah terbabit.

Menurutnya, gajah itu membawa anak, berkeliaran sejak petang kelmarin, memakan umbut kelapa dan batang pisang.

“Semalam bilik air di luar rumah diroboh dan gajah itu menumbangkan pokok kelapa serta pokok pinang.
Gajah turut meroboh bangsal tempat berehat dan membuang najis di depan rumah,” katanya yang ditemui hari ini.

Menurut Jamaliah, dia terserempak dengan gajah itu berhampiran hutan ketika mahu pulang mengambil pakaian selepas menumpang tidur di rumah jiran sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Hijau, Idris Yaakob, berkata pembalakan di hutan simpanan berdekatan kampung dan Hutan Simpan Gunung Inas mungkin menjadi punca gajah itu berkeliaran hingga ke kampung.

“Penduduk takut untuk ke kebun kerana gajah masih berkeliaran di hutan berdekatan.

“Waktu siang gajah itu berehat di kebun penduduk dan keluar pada waktu malam mencari makanan ” katanya yang meminta yang berkuasa bertindak segera sebelum kejadian buruk berlaku.

Sumber BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *